Yang ada ini, sudah harapan kita.
“Wahai
Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku
dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan
betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada
kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya
kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”
Kata-kata di atas merupakan petikan daripada khutbah terakhir Rasulullah S.A.W. Baginda tinggalkan sumber bekalan sepanjang zaman-Al-Quran dan As-Sunnah-sebagai panduan dan pedoman hidup kepada umatnya yang sangat Baginda cintai. Ingatan dan kasih baginda pada umat-umatnya tidak pernah luntur padam. Hatta sampai akhir nafas baginda sekalipun baginda masih mengenangkan umatnya.
تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya"
(Hadis Riwayat Muslim)
Ibrah daripada Sirah
Umat Islam punya sejarah yang
gemilang dalam sejarah ketamadunan manusia. Cara fikir ilmuan Islam yang
berbeza dengan orang Barat pada ketika itu menyebabkan mereka berusaha keluar
mencari ilmu dengan nama Tuhan-Allah yang Maha Agung- ketikamana golongan
Kristian menghancurkan khazanah ilmu yang ada dengan nama Nabi Isa A.S. Kerana
itu, Carleton S. (Carly) Fiorina, bekas penasihat John McCain pada tahun 2008
berkata dalam ucapannya ketika menjadi pengerusi Hewlett-Packard Company:
“Pada suatu masa dahulu wujud
satu tamadun yang terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas bersambung-sambung
dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir.
Dibawah kekuasaaanya terdapat ratusan juta manusia dari perlbagai agama, bangsa
dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam
percakapan sebahagian besar manusia pada ahri ini. Tentera-tenteranya
dianggotai oleh manusia dari pelbagai latar belakang dan penaklukannya
mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak tolok bandingnya. Perniagaan
yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin kenegara China serta
antara kedua-dua tamadun. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh
ciptaan-ciptaan baru. Arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan
gravity. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma.
Konsep-konsep ini membantu penciptaan computer dan encryption pada hari ini.
Tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat
pelbagai penyakit. Tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada
bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya.
Penulisnya menulis ribuan cerita…Tamadun yang saya maksudkan adalah tamadun
islam, yang berkembang dari 800-1600 Masehi.”
Namun hari ini, keadaannya
sudah jauh berbeza. Apabila kepimpinan diterajui mereka yang tidak berhak,
sekularisme dalam politik serta timbulnya pelbagai bidaah dan kesesatan dalam
dunia Islam, kegemilangan itu sedikit demi sedikit memudar.
Ibrah daripada kisah
Tidak
berapa jauh dari Sungai Indus, suatu masa dahulu, hidup seorang lelaki yang
bernama Ali Hafiz bersama bersama keluarganya. Beliau memiliki
ladang dan dusun yang luas dan beliau boleh dianggap sebagai orang yang kaya
raya. Setiap malam beliau bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang dikurniakan
dan setiap malam beliau dapat tidur dengan nyenyak. Pada suatu hari, seorang
lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam datang menziarahi Ali Hafiz.
Beliau menceritakan bagaimana berlian terjadi dan berkata, “Apabila kamu
berjaya memiliki berlian walaupun sebesar ibu jari, kamu mampu membeli sebuah
negara, dan apabila kamu dapat memiliki sebuah lombong berlian kamu dapat
menguasai dunia.”
Sejak hari itu, Ali Hafiz tidak dapat tidur dengan nyenyak lagi dan sejak hari itu beliau lupa bersyukur kepada Allah. Siang dan malam beliau termenung memikirkan bagaimana mahu memiliki berlian. Akhirnya, beliau memutuskan menjual kesemua harta yang dimilikinya untuk merantau mencari lombong berlian. Maka, Ali Hafiz pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan terus memulakan perjalanan. Beliau merantau ke bumi Palestin, menjelajahi Eropah, dan akhirnya tiba di Teluk Barcelona dalam keadaan miskin. Namun, berlian yang dicari tidak juga ditemui. Beliau berasa amat kecewa dan putus asa dan akhirnya mencampakkan dirinya ke dalam laut. Dengan ini tamatlah riwayat hidupnya.
Berbalik kepada ladang dan dusun yang sudah dijual, pada suatu hari pemilik yang baru bersiar-siar di dusunnya dan kemudian berhenti berehat di tepi sebatang sungai. Beliau berasa pelik kerana pasir di sungai itu kelihatan bersinar-sinar dan bergemerlapan. Beliau pun mencedok pasir sungai dan kemudiannya menunjukkanya kepada lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam. Lelaki itu terkejut besar kerana pasir itu mengandungi berlian bernilai tinggi dan berlian itu yang dicari-cari selama ini oleh Ali Hafiz.
Dusun itu bertukar menjadi sebuah lombong berlian yang besar yang dikenali pada hari ini sebagai lombong Golcanda.
Kembali kepada Islam
Ramai antara kita umat Islam
hari ini ‘rabun dekat’ seperti Ali Hafiz. Islam yang merupakan penyelesai
segala masalah dipandang sebelah mata. Namun sibuk dikejarnya fahaman-fahaman
songsang yang lain. Tidak kurang juga yang sibuk berbangga dengan sejarah
kegemilangan Islam, tetapi gagal untuk ‘berbangga’ dengan persiapan yang umat
terdahulu lakukan. Memetik kata-kata HAMKA:
“Yang ada ini sudah harapan kita.”
Islam yang kita anuti ini
sudah harapan kita. Janganlah kita bergantung harap dengan yang lain selain
daripada Allah dan RasulNya. Baginda telah tinggalkan kepada kita Al-Quran dan
As-Sunnah sebagai bekalan. Sesungguhnya kita tidak akan sesat selagimana kita
berpegang dengan kedua-duanya. Kembalilah kepada Islam. Kembalilah kepada
As-Sunnah. Sesungguhnya umat terdahulu berjaya bukan hanya kerana mereka Islam,
tetapi mereka turut berbangga dengan Islam.
“Kita merupakan golongan yang
dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup
yang lain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.”
–Saidina
Umar Al-Khattab
Yang ada ini, sudah harapan kita.
Ini kali-lah! Sinar Islam kan terang semula!
ini kali lah...
ReplyDeletesemoga Islam akan terus bersinar di seluruh dunia dan digeruni oleh orang2x kafir.
ReplyDelete