اِهْدِنَا الصِّرَاط الْمُسْتَقِيم



Memang benar, tidak semua jalan menuju ke syurga. 

Hidup ini mengajar saya untuk tidak hanya mengharapkan supaya berada di jalan yang benar. Kerna itu masih belum cukup. Doa saya dalam hati, mudah-mudahan masih dikarunia kudrat; mengangkat kaki untuk terus tetap kuat melangkah - thabat. Perit membayangkan melihat Syurga (yang tidak terbayangkan) dari jauh - di hujung jalan - tetapi hanya mampu berdiri tegak melihat - tidak bergerak. 

Hidup ini juga seakan-akan cuba memberitahu bahawa jalan yang benar, tidak semestinya lurus. Kerna di hujung perjalanan sebelum berjumpa dengan Tuhan, kita akan menemui liku-liku kehidupan yang penuh dengan penipuan. Kerna itu walaupun dunia ini sederhana kecil, perjalanan tetap terasa panjang dan memenatkan.

Bahkan terkadang menyakitkan.

Doa saya juga dalam hati, selain pohon rendang tempat berteduh; menyeka lelah tak sudah, ada yang sudi menghulurkan tangan membimbing kembali ke pangkal jalan. Kerna antara bukti rahmatNya Tuhan, Nabi Adam tidak dicampakkan ke dunia dan dibiarkan berjalan membina kehidupan berseorangan.

Dikurniakan Hawa di sisi sebagai peneman.

Kalau saya berkesempatan berjumpa dan bersembang dengan Tun Dr Mahathir, mahu sahaja saya sampaikan kepada beliau bahawa bukan "Melayu mudah lupa". Bahkan manusia seluruhnya mudah lupa. Kita manusia, bukan?

Terkadang kita lupa, bahawa kita sebenarnya tidak berseorangan.

Berhenti sebentar - pejamkan mata dan dongaklah ke langit. Mohonlah bimbingan hidayah dari Tuhan yang tidak pernah melupakan. 

Untuk jalan yang saya doakan benar-benar menuju Tuhan.

اِهْدِنَا الصِّرَاط الْمُسْتَقِيم
Tunjukkan kami jalan yang lurus.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Belajar Perlu Berguru

Umur bertambah,Usia berkurang

Mengapa wujud istilah bosan?