Refleksi Pasca Pilihanraya Umum ke-13



Pilihanraya Umum kali ke-13 Malaysia telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan kemenangan majoriti mudah berpihak kepada Barisan Nasional. Dengan ini, kerajaan serta parlimen yang baru buat rakyat Malaysia akan terbentuk. Mudah-mudahan, kerajaan dan pemimpin yang baru, tidak lagi mengamalkan budaya politik lama yang usang; salah urus tadbir, tidak cekap dan tidak amanah.

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami" [al-Kahf 18: 10]




Refleksi buat Rakyat

Musim pilihanraya menjadi cerminan warna dan peribadi diri seseorang. Yang dahulunya dilihat senyap tanpa kata, ketika pilihanraya menjadi aktif menyokong parti politik pilihannya. Sehinggakan ada yang terlupa, pilihan hati masing-masing tidak sama. Lebih malang, kita juga terlupa untuk berinteraksi dengan akhlak yang dianjurkan Rasulullah. Bermain-main dengan hujah emosi dan persepsi yang tidak bertanggungjawab.

Politik sihat dan matang.

Kita sudah berada dalam arena politik yang matang. Politik idea dan hujah yang didasari iman dan taqwa. Tinggalkan politik caci-maki, londeh-melondeh dan fanatik yang melampau. Budaya troll yang semakin membarah di laman sosial juga sewajarnya ditolak golongan mahasiswa. Dalam dunia langit terbuka, maklumat yang terhidang ternyata di boleh ditelan bulat begitu sahaja. Perlu penilaian dan pengadilan yang sewajarnya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” [Al-Hujuraat 49:6]

Ukhuwah

Perbezaan pendapat sememangnya suatu perkara yang sukar dibendung. Kita banyak berbeza dalam hampir semua perkara. Daripada  hal yang kecil sehinggalah hal yang besar. Begitu jugalah halnya dengan memilih taMpuk kepimpinan negara. Kerana fahaman politik, terkadang mata lebih banyak melihat perbezaan yang kecil dan sedikit berbanding persamaan yang besar dan banyak.

Percayalah perbezaan itu bukan bermaksud permusuhan. Sebetulnya, andai kita berpolitik secara matang dan sihat-tidak mengeluarkan kata-kata bernada sinis dan sarkastik, dan menjaga lisan kita daripada memaki hamun dan menabur fitnah, maka sudah tentu tidak ada sesiapa yang terasa hati dan bertikam lidah. Andaikata ada salah dan silap sepanjang pilihanraya yang lepas, bermaafanlah sesama muslim yang lain. Islam tidak menganjurkan perpecahan.

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya
sepertimana dia mencintai buat dirinya" 
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Cakna isu semasa.

Memilih pemimpin bukan suatu tugas yang remeh dan mudah. Pemimpin yang dipilih itulah yang bakal mencorakkan hala tuju dan pencapaian negara. Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimmpin (mu): sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagiaa yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka sebagai pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada oarng-orang yang zalim." [Al-Maidah: 51]

Kerana itu, proses pemilihan pemimpin tidak bermula ketika Perdana Menteri membubarkan parlimen, namun ia bermula seawal parlimen yang baru tertubuh lagi. Sebagai rakyat umumnya dan mahasiswa khususnya, seharusnya kita cakna dengan isu semasa yang berlegar di sekeliling kehidupan masyarakat kita di Malaysia supaya pemimpin yang dipilih benar-benar berkualiti dan berwibawa mengikut acuan Islam. 

Bukan baitul muslim sahaja.

Refleksi buat Pimpinan

Untuk 5 tahun yang mendatang, rakyat Malaysia bukan lagi seperti 55 tahun yang dahulu. Mentaliti rakyat berkembang seiring dengan berkembang pesatnya media sosial. Sememangnya lebih ramai rakyat yang lebih suak membaiki yang rosak daripada membeli yang baharu. Sungguhpun begitu, takutlah akan ujian Allah. Janganlah kalian melupakan hakikat kepimpinan adalah amanah dan kepimpinan yang ampuh. Rasulullah S.A.W bersabda:

Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (HR. Al-Bukhari).

Media massa.

Rakyat mahukan media massa yang mencambah minda dan intelektual rakyat. Adalah sangat malang sekiranya kerajaan yang baru masih menggunakan media untuk memperkukuhkan kekuasaan semata-mata. Berita finah dan lucah yang seringkali dimainkan di kaca televisyen sepatutnya dihentikan. Berikan hak yang adil kepada parti kerajaan dan pembangkang, supaya rakyat dapat menilai dan membuat keputusan dengan baik. Apa guna kerajaan dan pimpinan yang baru, tetapi masih membudayakan politik berat sebelah yang merugikan.

Selain maklumat yang berat sebelah memihak kepada parti politik yang berkuasa, adalah sangat malang sekiranya intelektual dan ulama (di dalam parti lawan khususnya) disia-siakan begitu sahaja. Para pimpinan boleh melihat sendiri betapa bercambahnya keinginan golongan anak muda untuk mendalami agama Islam dengan baik. Janganlah hanya kerana kecondongan mereka kepada parti lawan, kepakaran mereka yang sangat ditagih rakyat menjadi taruhan.

Realisasikan demokrasi.

Isu perkauman dan prejudis agama

Isu perkauman bukan isu baru. Sungguhpun begitu, sejarah 13 Mei yang sudah lama berlalu tetap berbekas di dalam hati rakyat. Isu-isu sensitif atau perselisihan antara kaum dan agama seharusnya dihentikan. Seharusnya isu ini  diurus dan diselesaikan dengan jujur dan telus dan tidak diselesaikan dengan nafsu politik sesetengah pihak. Prejudis perkauman dan agama seharusnya diperangi bukan ditambahburuk dengan komen pimpinan yang kurang cerdik.

Bagaimana perpaduan terjadi jika kita masih dengan pemahaman perkauman yang sempit?

Kehakiman yang adil

Islam itu adil dan sangat menolak unsur kezaliman. Keadilan dan kezaliman di dalam Islam tidak pernah memilih bulu apatah lagi melihat kepada keturunan, kuasa mahupun pangkat. Mudah-mudahan gerak kerja dan usaha yang jitu daripada kerajaan yang memerintah untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan dapat diusahakan dengan lebih gigih. Banyak isu-isu penyelewengan khususnya yang dikaitkan dengan pimpinan kerajaan, namun sehingga sekarang tindakan yang sewajar tidak diambil.

Keadilan dan kezaliman sebegini bukan sahaja malapetaka buat rakyat dan negara, namun ia menjadi suatu penghinaan kepada Islam.

Khatimah

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” 
[Hadith riwayat Muslim]

Al-Shahid Sayyid Qutb pula pernah berkata:

الظلم قد يطول ولكنه ﻻ يدوم
والحق قد يضعف ولكنه ينتصر


“Kegelapan, adakalanya berpanjangan. Namun ia tidak akan berterusan selamanya.
Kebenaran adakalanya lemah. Namun ia menang sepanjang masa.”

Semoga pimpinan pasca PRU13 ini, mampu membawa Islam yang lebih syumul buat rakyat Malaysia seluruhnya. Namun harus kita ingat, kejayaan dan kekuatan sesebuah negara bukan hanya  bergantung kepada pemimpin semata-mata. Rakyat juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara. Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang tinggi selain Islam. Mudah-mudahan, Allah limpahkan keberkatan dan keamanan buat negara Malaysia yang tercinta. 

[Artikel ini juga disiarkan website PERUBATAN Cawangan Iskandariah.]

Comments

Popular posts from this blog

Umur bertambah,Usia berkurang

Perubahan : Menjadi lebih baik dan sentiasa baik.

Belajar Perlu Berguru